Thursday, July 23, 2009

Hasil Mesyuarat Agung Tahunan Kedua

Pemilik Sri Palma Villa sekelian,

Salam Sejahtera.

Saudara,

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KEDUA – 28 JUN 2009

Usul 1: Cadangan Pengurangan Kadar MMC

Usul 2: Cadangan Menginbois MMC Tiga Bulan Sekali

Saya dengan segala hormatnya merujuk kepada perkara di atas.

Sebagaimana yang telah kita maklum, Mesyuarat Agung Tahunan Kedua telah berlangsung pada 28 Jun 2009 di Dewan 2 Sri Palma Villa. Usul-usul berikut telah diperbincangkan.

USUL 1

Diusulkan, dibahaskan dan diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan Kedua, iaitu Perbadanan akan melaksanakan penurunan kadar penyelenggaraan dan pengurusan (MMC) kepada RM100.00 sebulan, bermula pada bulan November 2009, TERTAKLUK kepada jumlah penerimaan untuk caj MMC yang bakal diterima oleh Perbadanan pada pengakhir bulan Oktober 2009, mencapai ke tahap empat puluh peratus (40%) daripada jumlah keseluruhan kutipan untuk bulan itu. Kadar baru ini akan berterusan dari bulan November 2009 sehingga ke bulan Jun 2010 iaitu akan ditamatkan pada tarikh Mesyuarat Agung Tahunan Ketiga dimana penetapan kadar baru akan diperbincangkan semula.

Sekiranya ini terlaksana, semua pemilik akan mendapat penjimatan sebanyak RM400.00 untuk pembayaran MMC dari bulan November 2009 hingga ke bulan Jun 2010. Bagi pembayar-pembayar TZM, sekiranya perkara ini terlaksana, akaun saudara akan disusun semula dan diskaun sebulan untuk setahun bayaran TZM akan tetap dinikmati.

Dalam usaha ini, Perbadanan amat berharap kepada kerjasama semua pemilik unit untuk mengemaskinikan akaun tertunggak masing-masing dan mempertingkatkan usaha untuk memastikan pembayaran MMC dibuat demi memastikan kutipan Perbadanan di akhir bulan Oktober 2009 akan mencecah ke jumlah 40% dari jumlah keseluruhan iaitu RM147,000.00 sebulan. Perbadanan beranggapan bahawa perkara ini tidak mustahil dapat dilakukan oleh kita semua kerana kutipan tertinggi yang pernah diterima oleh Perbadanan mencecah sehingga 33% sebulan.

Apapun, saudara mempunyai tempoh empat bulan untuk berusaha mengemaskinikan akaun tertunggak saudara dan mengekalkan pembayaran RM150.00 sebulan sehingga bulan Oktober 2009 dan pengorbanan ini pastinya akan berbalas apabila kita cuma perlu membayar RM100.00 sebulan di bulan November 2009 nanti.

NAMUN SEKIRANYA pada 31 Oktober 2009 jam 1200 malam, Perbadanan gagal untuk menerima minima 40% kutipan untuk bulan Oktober 2009, kadar asal MMC sebanyak RM150.00 sebulan akan dikekalkan sehinggalah ke Mesyuarat Agung Tahunan Ketiga nanti.

Bagi pemilik-pemilik unit yang tidak pernah membayar MMC dan sebagai galakan, Perbadanan akan menghapuskan ”faedah” (interest), sekiranya saudara membuat bayaran secara sekaligus bagi bulan bermula April 2008 hingga ke bulan berakhir Mac 2009.

USUL 2

Diusulkan, dibahaskan dan diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan Kedua supaya penghantaran inbois dilakukan setiap tiga bulan sekali. Ini bertujuan untuk penjimatan kos percetakkan, kertas dan setem pos. Walaupundemikian, bagi pemilik-pemilik yang mempunyai alamat email dan mahukan penghantaran inbois secara bulanan melalui email, sila kemukakan permohonan saudara melalui email kepada kami di alamat spv1236@gmail.com. Proses penghantaran inbois secara email ini akan dimulakan pada bulan Ogos 2009.

Oleh itu, saya sebagai Pengerusi dan juga sebagai sebagai seorang pemilik seunit kediaman di Sri Palma Villa ini amat berharap agar perkara ini dapat dilaksanakan untuk kebaikkan bersama. Bak kata pepatah ”BERSUSAH-SUSAH DAHULU – BERSENANG-SENANG KEMUDIAN”. Bersusahlah kita dahulu untuk melaksanakan tanggung-jawab yang sewajibnya kita lakukan dan bersenang kita apabila bebanan kita diringankan.

Sekian, terima kasih.

Azman Badaruddin