Sunday, October 18, 2009

Situasi Semasa di SPV 1236

Rujukan kami: JMBSPV1236/SPV/75/09
Tarikh: 15 October 2009


Semua Pemilik Unit dan Penyewa Unit
Sri Palma Villa Blok 1, 2, 3 & 6

Salam 1 Malaysia
Selamat Hari Raya Aidil Fitri
Selamat Hari Deepavali

Saudara,

SITUASI SEMASA DI SPV 1236

Saya dengan segala hormatnya merujuk kepada perkara di atas.

PERTAMA

Perbadanan mendapati masih ramai pemilik-pemilik unit/rumah yang tidak atau enggan membayar caj penyelenggaraan dan pengurusan (MMC) yang telah ditetapkan dalam Mesyuarat Agung Pertama dahulu. Walaupun pelbagai cara telah diusahakan oleh Perbadanan, namun ianya tidak mendapat sambutan dari pemilik-pemilik unit/rumah berkenaan. Antara usaha-usaha Perbadanan adalah seperti berikut:

1. Skim “Towards Zero Maintenance Fee” (TZM)
Skim ini telah dilancarkan pada bulan September 2008 untuk menggalak pemilik-pemilik unit/rumah membayar MMC setahun atau dua tahun kehadapan. Perbadanan akan memberikan diskaun sebulan untuk pembayaran setahun kehadapan atau dua bulan untuk pembayaran dua tahun kehadapan dan seterusnya dengan syarat segala tunggakkan hendaklah diselesaikan terlebih dahulu. Namun cuma segelintir pemilik sahaja yang berminat.

Tujuan diadakan skim ini ialah sekiranya Perbadanan menerima jumlah surplus kewangan yang tinggi, wang tersebut boleh disalurkan ke institusi kewangan yang boleh mendapat pulangan yang tinggi seperti saham dan lain-lain. Faedah yang bakal diterima nanti boleh membantu untuk mengurangkan kadar MMC pada masa hadapan.

2. Pencapaian 40% kutipan MMC bulanan
Di Mesyuarat Agung Kedua yang diadakan pada bulan Jun 2009 yang lepas, Perbadanan bersetuju untuk mengurangkan kadar MMC kepada RM100.00 sebulan pada bulan November 2009 SEKIRANYA pendapatan Perbadanan pada bulan Oktober 2009 bersamaan atau melebihi 40% kutipan keseluruhan untuk bulan itu. Peratusan kutipan sehingga ke tarikh ini untuk bulan Julai 2009 ialah 12%, Ogos 2009 ialah 10%, September 2009 ialah 8% dan October 2009 ialah 4%. Kutipan tertinggi Perbadanan yang pernah direkodkan ialah untuk bulan April 2008 iaitu sebanyak 33%. Sejak itu, jumlah kutipan tidak pernah merekodkan kenaikkan tetapi berterusan menurun dan penurunan ini amat membimbangkan Perbadanan.

Melihat kepada sambutan yang diperolehi, Perbadanan tidak merasakan dapat menurunkan kadar MMC dan dengan ini menetapkan kadar sebanyak RM150.00 sebulan diteruskan sehingga ke Mesyuarat Agung Ketiga yang insyallah akan diadakan pada bulan Jun 2010. Ini bagi memastikan Perbadanan mempunyai dana untuk menguruskan dan menyelenggara kawasan bersama di kompleks kondominium Sri Palma Villa ini.

KEDUA

Setiap bulan Perbadanan akan dibebankan dengan pembayaran bil air yang dituntut oleh Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS). Untuk makluman, bil semasa bulanan SAINS untuk penggunaan air di Sri Palma Villa ini adalah diantara RM9,000.00 dan RM11,000.00 sebulan. Namun ketidakperihatinan pemilik atau penyewa untuk membayar bil air yang dikenakan kepada mereka menyebabkan Perbadanan terpaksa menggunakan wang MMC untuk menanggung bil air tersebut. Kita jangan juga lupa bahawa terdapat tunggakkan sebanyak RM140,000.00 lebih yang gagal dikutip oleh pihak Dataran Mantin Sdn. Bhd. semasa dalam pengurusan mereka dahulu dan jumlah ini masih terpamir di bil air SAINS setiap bulan. Jumlah yang tinggi ini boleh mengundang SAINS untuk memotong bekalan air ke Sri Palma Villa pada bila-bila masa sahaja dan ini pastinya menyusahkan semua pihak.

KETIGA

Atas sebab-sebab di atas, Perbadanan terpaksa bertindak tegas. Kelembutan Perbadanan selama ini telah disalahgunakan dan kini Perbadanan tidak lagi boleh bertolak ansur. Perbadanan akan melaksanakan tindakan berikut atas dasar menunaikan kewajipan Perbadanan dan atas rasa terhutang budi kepada pengorbanan pemilik-pemilik yang bersusah payah dan berterusan membayar MMC dan bayaran air setiap bulan. Tanpa pengorbanan pemilik-pemilik ini, sudah pasti tiada dana untuk Perbadanan bagi menguruskan kawasan ini dengan sempurna.

Dua tindakan yang akan dilaksanakan oleh Perbadanan dalam masa terdekat ini ialah seperti berikut. Namun pihak Perbadanan akan, dari masa ke semasa, melaksanakan tindakan-tindakan lain yang difikirkan wajar dan perlu demi kesejahteraan Sri Palma Villa.

Pemakiran Kenderaan
Hanya kenderaan-kenderaan pemilik unit/rumah yang mempunyai tunggakkan MMC yang tidak melebihi 70% sahaja akan dibenarkan masuk dan pakir di kawasan Sri Palma Villa ini. Saya sendiri, dari masa ke semasa, akan berada dipos kawalan untuk memastikan perkara ini dilaksanakan. Penggunaan pelekat akses masuk kenderaan akan diadakan semula dan pengeluaran pelekat akses ini hanya akan dikeluarkan kepada pemilik-pemilik yang telah membayar MMC mereka melebihi 70% dari jumlah kutipan keseluruhan MMC. Hanya kenderaan yang mempunyai pelekat akses sahaja dibenarkan masuk ke kawasan Sri Palma Villa. Perbadanan akan melaksanakan perkara ini pada 1 Desember 2009.

Saudara mempunyai tempoh satu bulan setengah untuk menjalankan tanggungjawab saudara membayar MMC yang tertunggak atau berhadapan dengan tindakkan tegas Perbadanan.

Pembekalan Air
Perbadanan kini menetapkan bahawa tunggakkan air yang melebihi RM75.00 akan berhadapan dengan pemotongan bekalan air. Saudara akan diberikan masa 14 hari dari tarikh inbois untuk melunaskan pembayaran tersebut. Pihak Perbadanan tidak akan teragak-agak untuk memotong perkhidmatan bekalan air ke unit/rumah saudara selepas tempoh 14 hari. Caj RM25.00 akan dikenakan bagi mengembalikan perkhidmatan air ke unit/rumah saudara.

Perbadanan juga akan memasang tali/kabel keselamatan pada jangka air saudara. Ini bagi mencegah kecurian jangka/meter air oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Saudara adalah bertanggungjawab untuk memastikan tali/kabel ini tidak diusik atau dipotong dan memastikan jangka/meter air saudara tidak dicuri dan masih yang asal. Tali/Kabel keselamatan yang telah diusik atau diputuskan akan menyebabkan saudara boleh dituduh mencuri bekalan air dan pihak Perbadanan akan melapurkan perkara ini kepada pihak Polis DiRaja Malaysia untuk tindakkan mereka selanjutnya.

Antara tindakan-tindakan lain yang sedang difikirkan dan akan dilaksanakan oleh Perbadanan adalah seperti berikut:

· Menutup kolam renang bagi unit/rumah yang tidak membayar MMC atau mengenakan caj penggunaan kolam renang.
· Memasang pembaca kad akses di lift-lift. Hanya unit/rumah yang membayar MMC sahaja layak menggunakan kemudahan-kemudahan lift dan seumpamanya.
· Mengambil tindakkan perundangan bagi menuntut bayaran tertunggak dari pemilik-pemilik yang degil.
· Dan lain-lain.

Saya amat berharap agar saudara dapat melihat kesemua ini dengan hati yang terbuka. Kita sepatutnya bertuah kerana Sri Palma Villa ini diuruskan oleh Perbadanan. Untuk makluman saudara, ahli-ahli Perbadanan adalah saudara sendiri manakala ahli jawatankuasanya terdiri dari sembilan orang pemilik unit/rumah dan cuma satu kerusi sahaja dikhaskan untuk pemaju.

Perbadanan tiada sumber kewangan lain selain dari caj MMC. Bayangkan sekiranya kawasan ini diuruskan oleh orang luar yang cuma tahu mengira keuntungan dan menuntut caj MMC berlandaskan undang-undang tetapi tidak melaksanakan penyelenggaraan yang sempurna dan sepatutnya.

Tanpa kewangan, pastinya tiga lift yang rosak di blok 1, 2 dan 3 tidak dapat diperbaiki. Kini kesemua lift berfungsi dengan baik dan memudahkan semua penghuni di kompleks kediaman ini. Atas sebab-sebab kewangan yang terhad, Perbadanan mengambil masa selama 9 bulan untuk membaikpulih lif-lif tersebut. Terima kasih kepada kontraktor lif yang memberi kepercayaan sepenuhnya terhadap pengurusan Perbadanan untuk menerima pembayaran kos pembaikkan secara beransur-ansur.

Akhirnya, saya menyeru kepada kesedaran saudara untuk menunaikan tanggungjawab saudara sebagai seorang pemilik kediaman di kompleks kediaman Sri Palma Villa ini. Saya juga faham bahawa tindakkan ini tidak akan mengundang populariti kepada saya dan ahli jawatankuasa Perbadanan tetapi terpaksa kami lakukan atas dasar sayangnya kami kepada kawasan kediaman ini.

Saya juga berharap agar penyewa-penyewa kediaman supaya dapat menghubungi tuan rumah masing-masing dan berbincang dengan mereka kerana tindakkan Perbadanan ini dan seterusnya kelak pasti akan menyukarkan sedikit sebanyak kehidupan saudara di Sri Palma Villa ini seandainya unit/rumah yang saudara diami itu tidak membayar MMC yang sepatutnya.

Sekian. sempena Hari Raya ini, saya bagi pihak kesemua kakitangan Perbadanan, memohon ribuan ampun dan maaf atas segala kesilapan, samada sedar atau tidak, yang mungkin serba sedikit menghiris perasaan saudara dalam menjalankan tugas yang diamanahkan oleh saudara-saudara sekalian.

Terima kasih.


MOHAMMAD AZMAN BIN BADARUDDIN
Pengerusi
Perbadanan Pengurusan Bersama
Sri Palma Villa Blok 1, 2, 3 & 6