Tuesday, July 15, 2008

July Invoice....Issued...

Pemilik rumah sekelian...

Invoice untuk bulan Julai telah diposkan pada hari ini berserta surat berikut:-

Rujukan kami: JMBSPV1236/SPV/39/08
Tarikh: 10 Julai 2008




Salam bahagia…

Kegetiran cabaran dalam menguruskan Sri Palma Villa kini begitu dirasai. Hutang-hutang lapuk yang ditinggalkan oleh pihak pemaju yang lepas kini menghantui Perbadanan ini dan Perbadanan terpaksa untuk mengambil langkah-langkah drastik bagi mengatasi masalah-masalah ini. Antara masalah-masalah tersebut adalah:

1. Kolam renang yang selama ini memberikan keseronokan kepada anak-anak kita kini terpaksa ditutup. Ini disebabkan pihak Tenaga Nasional Berhad telah memotong bekalan elektrik ke “club house” dan disebabkan ini, pam air tidak dapat berfungsi, menjadikan tiadanya kitaran air dan kebiruan air kini bertukar ke kehijauan lumut. Jumlah bil yang tertunggak adalah sebanyak RM14,000 dan tunggakkan ini adalah semasa pengurusan Dataran Mantin Sdn. Bhd. (DMSB).

Bil elektrik untuk blok-blok kondominium adalah terkawal. Walaupun terdapat angka-angka tertunggak, ianya tidaklah setinggi angka tertunggak dalam bil untuk club house. Perbadanan sedang membuat pengiraan bagi menentukan bahagian-bahagian di bawah Perbadanan dan bahagian-bahagian di bawah DMSB.

2. Bil air yang Perbadanan terima pula menunjukkan tunggakkan terkini sebanyak RM140,245.62. Mengapa ianya terlalu tinggi, sukar untuk Perbadanan jelaskan tetapi ianya mungkin melambangkan bahawa ramai pemilik rumah yang tidak menjelaskan tunggakkan air mereka kepada pihak DMSB. Perbadanan faham akan perasaan tuan puan semua terhadap DMSB, namun apabila kita bercakap berkenaan air, ada pihak ketiga iaitu Jabatan Bekalan Air Negeri Sembilan (JBANS) yang terbabit sama. Seandainya tunggakkan ini tidak dijelaskan dengan seberapa segera, pihak JBANS boleh memotong bekalan air pada bila-bila masa sahaja, terutamanya apabila bil tertunggak ini telah terlalu tinggi. Disebabkan tunggakkan ini terlalu tinggi, pihak JBANS menolak tawaran Perbadanan untuk membayar bil semasa tetapi mahukan pembayaran yang sepenuhnya.

Pemotongan bekalan air akan mengundang masalah kepada semua pemilik rumah dan penghuni/penyewa di Sri Palma Villa. Sehingga ke tarikh ini, Perbadanan cuma menerima sejumlah RM10,601.37 bagi pembayaran bil air semasa dan bil tunggakkan. Ini jauh daripada jumlah yang sepatutnya dibayar kepada Perbadanan.

3. Tiga bulan telah berlalu dan kini kita berada di bulan ke empat di dalam kalender pengurusan Perbadanan. Cuma sepuluh peratus pemilik sahaja yang membayar caj penyenggaraan dan pengurusan setiap bulan. Perbadanan cuma memperolehi purata RM15,000 sahaja sebulan. Jumlah ini terlalu sedikit dan amat mengecewakan.

Benar, harga minyak telah naik, ekonomi makin gawat, segalanya tidak menentu, namun tergamakkah kita melihat air kolam renang berterusan menjadi hijau. Tergamakkah kita melihat kanak-kanak berjalan dalam kegelapan tanpa lampu-lampu jalan dan lampu-lampu di kaki lima, tergamakkah kita melihat rumput-rumput bertukar menjadi lalang. Perbadanan telah berusaha sedaya upayanya tetapi segalanya terhad dengan halangan kewangan yang terlalu sedikit.

Kita pernah berasa marah dan masih berasa marah terhadap DMSB atas pengkhianatan mereka terhadap janji-janji mereka semasa urusan jual-beli rumah di SPV ini yang mengakibatkan kita semua menjadi mangsa kewangan yang teruk hingga kini. Namun ia tidak dapat menukar apa pun kecuali kita mengambil keputusan menjual rumah berkenaan. Tetapi jika itu bukan langkah yang kita ambil dan masih sayangkan rumah-rumah tersebut, maka wajarlah kita untuk memeliharanya dengan sebaik mungkin. Selagi rumah tersebut di bawah nama kita, kita tidak terlepas dan wajib menjalankan tanggung jawab kita sebagai pembeli rumah dengan membayar caj penyenggaraan dan pengurusan yang kita sendiri tetapkan mengikut jadual. Jika dahulu kita dikhianati, apakah kini kita sanggup mengkhianati Perbadanan ini yang kita sendiri sama-sama bina untuk kesejahteraan Sri Palma Villa?

4. Sepertimana yang tuan puan dapat lihat, Perbadanan masih belum mengenakan faedah (interest) terhadap kelewatan pembayaran caj penyenggaraan dan pengurusan atas sebab untuk memberi laluan kepada pemilik-pemilik rumah menjelaskan tanggung jawab mereka. Namun kelonggaraan ini tidak lagi dapat Perbadanan teruskan. Inbois yang dikemukakan bersama surat ini perlu di bayar sebelum 5 Ogos 2008. Selepas itu, caj faedah bersamaan 10% setahun akan dikenakan bagi setiap hari yang lewat. Bagi pemilik-pemilik yang mencuba untuk menjelaskan tunggakan mereka sebelum 5 Ogos 2008 dengan membuat pembayaran mengikut kemampuan, pihak Perbadanan akan mengira faedah atas baki tertunggak dari tarikh 6 Ogos 2008. Namun,bagi pemilik rumah yang tidak langsung membayar caj penyenggaraan dan pengurusan sejak dari 1 April 2008 dan Perbadanan tidak menerima apa-apa pun sehingga 5 Ogos 2008, caj faedah akan dikira bermula dari 1 April 2008. Harap maklum.

5. Bagi pemilik-pemilik rumah yang telah membayar yuran penyelenggaraan kepada pihak DMSB tetapi gagal untuk menuntut kembali wang mereka, Perbadanan akan cuba menuntut wang tersebut melalui saluran undang-undang. Pemilik yang berkenaan adalah dikecualikan untuk membayar caj penyenggaraan dan pengurusan dan tidak akan dikenakan faedah sehingga ke bulan yang telah mereka bayar kepada DMSB. Untuk ini, sila kemukakan bukti seperti resit pembayaran daripada DMSB untuk tindakkan Perbadanan selanjutnya.

6. Perbadanan dalam proses untuk mengenal pasti perkhidmatan-perkhidmatan yang boleh Perbadanan berikan kepada pemilik-pemilik yang melunaskan pembayaran caj penyenggaraan mereka dan menyekat pemberian perkhidmatan tersebut kepada pemilik yang gagal menjelaskan caj penyenggaraan mereka. Ini bertujuan untuk memberi keadilan kepada pemilik yang bertungkus lumus membayar caj penyenggaraan dan pengurusan mereka. Contohnya: Kolam Renang – Adalah tidak wajar sekiranya yang menggunakan kolam tersebut terdiri dari mereka yang tidak membayar sebarang caj sedangkan Perbadanan membelanjakan beribu ringgit sebulan untuk memastikan kolam tersebut boleh digunakan.

Antara perkhidmatan yang sedang Perbadanan kenal pasti untuk dikawal penggunaannya adalah seperti berikut:
- Kolam Renang
- Akses Kenderaan Masuk Kawasan
- Lift
- Club House termasuk Gymnasium dan Dewan Serbaguna
- Bekalan Air
- BBQ Pits
- Tennis Court
- Dan lain-lain.

Penguatkuasaan terhadap pemberian perkhidmatan tersebut akan diumumkan kelak setelah kajian mengenainya dari segi undang-undang dan lain-lain disempurnakan.

7. Pemilik rumah yang dahulu menyatakan keinginannya untuk menyewakan rumah mereka di kehendaki menghubungi Perbadanan melalui surat rasmi. Perbadanan kemudiannya akan memajukan kepada mereka satu MoU untuk ditandatangani bersama. Satu salinan kunci rumah hendaklah dikemukakan kepada pihak Perbadanan sekiranya bersetuju dengan kandungan MoU tersebut.

Sekian untuk makluman pada kali ini. Harapan Perbadanan agar semua pemilik dapat menjalankan tugas mereka dengan membayar caj penyenggaraan dan pengurusan semasa dan yang tertunggak sebelum 5 Ogos 2008.

Terima kasih.


MOHAMMAD AZMAN BIN BADARUDDIN
Pengerusi
Perbadanan Pengurusan Bersama
Sri Palma Villa Blok 1, 2, 3 & 6

1 comment:

Dandai said...

Saudara Azman,
Terima kasih tak terhingga atas usaha tuan. Saya telah terima invoice terbaru dan telah melawat dan membaca blog ini. InsyaAllah,saya akan cuba membayarnya,walaupun mungkin bukan secara total sekaligus. Ini kerana...ye, masalah kesulitan wang. Tapi disebabkan saya ada tenant, saya akan berusaha sekurang-kurangnya membayar bil air yg tertunggak dahulu.
Sekali lagi, terima kasih atas usaha tuan. saya tau usaha ini bukannya satu perkara yang mudah. Moga tuan terus berkhidmat dan menyumbang bakti untuk PERBADANAN demi kesejahteraan semua.

thank you.
pembeli tertipu,
SP V3C-05-06